Link to online article: http://www.siasahonline.com/aprilartikel03/big18042003.htm

TAYANGAN PERDANA THE BIG DURIAN
Akan berubahkah senario politik Malaysia?
Oleh: Abrorivai
18-04-2003

KUALA LUMPUR: Malaysiakini.com dengan rasa besar hati menjadi tuan rumah kepada tayangan perdana, The Big Durian, filem digital terbaru Amir Muhammad di The Actors Studio (Dataran Merdeka), Rabu depan, 23 April 2003.

Filem sepanjang 75 minit itu akan ditayangkan bermula jam 8.30 malam, berdasarkan satu peristiwa, 18 Oktober 1987, bilamana seorang askar dengan selaras M16nya, melakukan ‘amok’ di kawasan Chow Kit, Kuala Lumpur. Dia Prebet Adam.

“Saya tidak ke sekolah dalam sehari itu selepas Prebet Adam melakukan amok. Ketakutan dan kebencian melanda Kuala Lumpur: politik nasional, buat pertama kalinya, memberi kesan kepada rutin harian saya.

"Saya juga ingat bahawa surat khabar kelihatan berbeza selepas itu. Saya benar-benar ingin mengetahui kalau orang lain juga mengingati perkara yang sama seperti saya. Dari sinilah The Big Durian muncul,” kata Amir Muhammad dalam “Director’s Statement” di Malaysiakini.com.

The Big Durian bakal menyajikan satu bentuk genre baru, bilamana garis pemisah antara dokumentari dan fiksi menjadi tipis. Dengan satu kepercayaan lain, bercakap di hadapan kamera mempunyai sihirnya sendiri.

“The Big Durian merupakan kombinasi monolog dramatik dan pengakuan sebenar yang menelusuri peristiwa dan ‘mood’ waktu itu. Walaupun berdasarkan pada satu peristiwa yang telah berlalu 16 tahun lalu, banyak aspek dan isu-isu akan dicakup menerusi filem ini yang akan dilihat lebih kontemporari,” katanya lagi.

Filem terbitan Doghouse73 Pictures, merupakan juga tayangan untuk kebajikan dengan derma minima RM 50. Sumbangan akan pergi ke Malaysiakini.com, sebagai sokongan terhadap kebebasan berekspresi dan media. Masuk tayangan hanya menerusi jemputan sahaja.

Untuk itu, sebarang jemputan anda boleh menghubungi 03 2283 5567. Atau datang mengambilnya sendiri di pejabat Malaysiakini, 2-4, Jalan Bangsar Utama 9, KL, antara jam 9 pagi hingga 5 petang, hari Isnin, 21 April 2003.


[x] close